Jika sebelum ini Waytha Moorthy menggesa tindakan diambil terhadap anggota polis daerah Subang Jaya disebabkan kononnya mengeluarkan kenyataan salah berhubung rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, kini beliau memuji pula usaha pantas pihak polis membawa semula ketenteraman di kawasan berkenaan.

Malah, pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu turut mengatakan pihak polis telah mempamerkan nilai profesionalisme tertinggi dalam menangani isu tersebut dan sumbangan itu juga amat dihargai komuniti India dan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas tindakan pantas PDRM sekali gus telah membawa semula ketenteraman di kawasan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

“Jaminan polis untuk melaksanakan siasatan menyeluruh dan pesalah terlibat akan dibawa ke muka pengadilan juga amat dihargai demi keselamatan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE