Wee Ka Siong
Wee Ka Siong 

Dalam masa sama, Ka Siong juga mempersoalkan Guan Eng yang dilihat melenting dalam isu tersebut sehingga bercadang untuk memfailkan saman terhadap beliau.

Katanya, apa yang dikemukakan oleh Setiausaha politik Guan Eng, Tony Pua baru-baru ini sebenarnya belum melayakkan beliau bergelar akauntan bertauliah lagi.

"Saya cuba tanya adakah Guan Eng merupakan akauntan profesio­nal bertauliah, itu sahaja dan kenapa perlu melenting. Kalau betul, tunjukkan sahaja, kalau tidak betul, perbetulkan semula perkara berkenaan.

"Bagi sesiapa yang menggunakan gelaran akauntan bertauliah ia merupakan kesalahan besar iaitu penalti sebanyak RM25,000 dengan setahun penjara. Ia bukan perkara main-main," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Guan Eng mempertimbangkan untuk memfailkan saman fitnah terhadap Ka Siong berikutan mempersoalkan kredibiliti beliau sebagai akauntan profesio­nal bertauliah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Tony sambil menjelaskan tindakan sama itu berkemungkinan dikenakan terhadap media yang melaporkan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Ka Siong sedia menunggu apa jua tindakan yang bakal diambil oleh Guan Eng terhadap beliau dalam isu ini.

"Saya sedia menunggu, yang benar tetap benar. Selepas pembongkaran demi pembongkaran berhubung isu tersebut, saya cuma tanya sama ada betul atau tidak (Guan Eng akauntan profesio­nal bertauliah).

"Contoh kalau orang kata saya bukan jurutera bertauliah, saya akan buktikan saya jurutera bertauliah. Begitu juga Guan Eng perlu melakukan perkara sama," katanya. - UTUSAN ONLINE