Menurutnya, dakwaan bahawa beliau meninggalkan UMNO untuk membentuk Semangat 46 suatu ketika dahulu adalah hanya propaganda Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengimbau kembali perkara itu, beliau menjelaskan, apa yang berlaku adalah apabila Tun Dr. Mahathir tidak menerimanya semula untuk menyertai UMNO baharu apabila UMNO lama diharamkan.

“Apabila UMNO dah haram pada waktu itu, kita tak ada parti. Jadi, kita perlukan sebuah parti dan apabila UMNO baharu ditubuhkan Tun M, saya nak masuk tetapi beliau tidak benarkan.

“Beliau kata saya perosak...bukan saya sahaja, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Musa Hitam dan panjang lagi senarainya yang mahu menyertai UMNO baharu itu, tetapi Tun M (Dr. Mahathir) tidak benarkan.

“Jadi, jika ada orang kata Ku Li tinggalkan UMNO dan menyertai Semangat 46, itu tidak betul kerana ia adalah propaganda Tun M,” katanya

ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md. Jais Sarday.

Tengku Razaleigh berkata, apabila itu berlaku, atas nasihat Tunku Abdul Rahman parti Semangat 46 ditubuhkan sementara menunggu Tun Dr. Mahathir ‘sejuk’ dan menerima mereka menyertai UMNO semula. - UTUSAN ONLINE