Menurut Jason, setiap isu yang dibangkitkannya disertakan fakta-fakta kukuh yang sepatutnya dijawab oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dan bukan cuba menutup mulutnya dengan tindakan undang-undang.

“Saya akan terus bersuara demi kepentingan penduduk Pu­lau Pinang kerana kebebasan bersuara sangat diperlukan di sini ketika ini memandangkan terlalu banyak kontroversi dalam pentadbiran kerajaan negeri,” kata­nya kepada pemberita di pejabat Gerakan Pulau Tikus di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jason mengakui beliau berdepan kemungkinan diisytiharkan muflis atau hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ekoran saman yang diterimanya itu.

“Apa pun, saya tidak akan sesekali berundur dan anda (Guan Eng) tidak boleh menutup mulut saya begitu sahaja,” katanya.

Tegas beliau, Pemuda Gerakan negeri tidak akan mengganggu siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kedua-dua isu tersebut.

Katanya, SPRM berhak melengkapkan kertas siasatan mereka terlebih dahulu sebelum membawa kes tersebut ke muka pengadilan.

Dalam masa sama, tegas beliau, Guan Eng masih perlu tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan kepada penduduk ne­geri ini.

“Saya mahu tahu mengapa projek itu begitu penting kepada mereka (kerajaan DAP Pulau Pinang) dan mengapa diluluskan dengan mudah?” katanya.