Saarani berkata, kesemua bukti berkenaan akan diserahkan kepada pihak polis sekiranya beliau dipanggil untuk memberi ketera­ngan bagi membantu siasatan.

“Akuan bersumpah ini adalah bukti sahih dan dibuat berasaskan lima ADUN kepada saya. Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, kertas siasatan telah dibuka dan ini bermakna saya akan dipanggil pada bila-bila masa.

“Saya bukan menipu dan mereka-reka cerita. Saya ada akuan bersumpah daripada kese­mua ADUN UMNO yang te­lah ditemui secara peribadi oleh ADUN Tebing Tinggi (Dr. Abdul Aziz Bari). Dia sendiri pergi jumpa dan gambar pun ada,” katanya dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Saarani, penafian yang dibuat Abdul Aziz susulan pendedahan beliau dalam sidang DUN semalam telah me­nunjukkan sifat hipokrit, me­nipu diri sendiri dan berbohong yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan.

Ujar beliau, Abdul Aziz dinasihatkan untuk hidup di 'alam nyata' jika tidak mahu terus menjadi bahan sendaan berikutan sikap tersebut.

“Dia perasan dia kuat sebab dapat undian tinggi pada pemilihan DAP. Bagaimanapun satu benda yang dia perlu belajar dan fikir, bukan dia seorang sahaja yang berminat dengan jawatan Menteri Besar, dia silap. Di antara mereka yang lain akan persoalkan.

“Saya bukan pembohong dan tiada niat jatuhkan air muka dia. Saya mahu menjaga keamanan dan keselamatan negeri Perak. Saya tidak mahu cara mendapatkan kerajaan secara tidak demokratik,” katanya.