Video oleh Mohd. Afizi Ismail

Beliau juga akui, merasai perubahan dalam kehidupannya serta perlu mematuhi undang-undang dan protokol berkaitan ketenteraan di kementeriannya.

Ahli Parlimen Kota Raja yang terkenal dengan jolokan ‘Mat Sabu’ itu walau bagaimanapun akan mengekalkan identitinya meskipun sudah menganggotai Kabinet.

“Sudah tentu berasa gemuruh, sebab sebelum ini saya hanya seorang rakyat biasa yang hanya aktif berpolitik.

“Tetapi sekarang perlu mematuhi peraturan dan protokol yang menjadi pengalaman baharu dalam hidup saya.

“Walau bagaimanapun, saya tidak mahu ubah ‘gaya Mat Sabu’,” katanya kepada Utusan Online.

Terdahulu, beliau menerima tabik hormat dan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat sebaik sahaja tiba di Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak.

Turut hadir dalam istiadat itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Pengumuman anggota kabinet Mahathir
REAKSI Mohamad Sabu (duduk, kanan) ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan beliau sebagai Menteri Pertahanan di Yayasan Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/Abdul Razak Latif

Tambah Mohamad Sabu, beliau akan menggembleng tenaga bersama Panglima dan kepimipinan kementeriannya untuk menambah baik sektor pertahanan dan pengurusan.

“Seminggu pertama, saya akan mendengar taklimat daripada jabatan dan bahagian dalam kementerian sebelum menentukan sebarang perubahan.

“Sekiranya ada keperluan baharulah perubahan akan dibuat dan sekiranya pengurusan sedia ada berada dalam keadaan baik, peningkatan dan penambahbaikan juga akan dilakukan untuk memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Semalam, Mohamad Sabu bersama 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara. - UTUSAN ONLINE