Sambil menafikan terlibat dalam isu tersebut, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat berkenaan.

“Sila kemukakan bukti jika saya terlibat atau ada salah menggunakan kuasa atau mana-mana anggota keluarga saya yang terlibat, saya sedia berdepan dengan siasatan.

“Saya tidak kira kes ini baru atau lama. Saya tidak pernah terbabit,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita antarabangsa yang mendakwa Bestinet Sdn. Bhd. dimiliki oleh adik ipar Ahmad Zahid iaitu Amin Abdul Nor yang terbabit dalam sindiket penipuan pekerja dari Nepal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO menegaskan bahawa beliau tidak mengenali individu bernama Amin dan turut menafikan mempunyai pertalian keluarga dengan warga Bangladesh itu sepertimana didakwa dalam laporan berkenaan.

“Saya tidak ada adik ipar bernama Amin. Malah saya difahamkan syarikat itu memang ada perniagaan sebelum saya masuk Kementerian Dalam Negeri lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE