Presiden Pemantau Malaysia Baru itu berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha bagi membantu siasatan dengan berjanji akan bertindak secara rasional bukan dengan cara yang tidak bertamadun.

“Silakan, saya sedia bekerjasama dan kita ada peguam jadi sebelum melakukan sesuatu perkara kita pastikan ikut laras undang-undang yang sedia ada,” katanya pada sidang akhbar dalam majlis pelancaran Pemantau Malaysia Baru peringkat Kuala Muda di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pihak polis yang akan memanggil penganjur perhimpunan menyokong Yang di-Pertuan Agong kerana membuat perhimpunan tanpa memberi notis.

Pagi semalam, kira-kira 100 penyokong Pemantau Malaysia Baru berkumpul bagi menunjukkan solidariti kepada Yang di-Pertuan Agong dan membantah parti DAP yang didakwa memperkudakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Lokman Noor berkata, pihaknya tidak melakukan sebarang kesalahan menganjurkan perhimpunan terbabit apabila memaklumkan polis terlebih dahulu sebelum perhimpunan itu diadakan.

“Kita berpegang kepada Akta Perhimpunan Aman yang menyatakan perhimpunan tersebut tidak memerlukan permit memadai dengan memaklumkan kepada polis,”jelasnya. - UTUSAN ONLINE