Beliau yang merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) malah menyifatkan penentangannya terhadap kerjasama dua parti terbesar orang Melayu itu sebagai kesilapan terbesar pernah dilakukan dalam kerjaya politiknya.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI dan SAJIDA ASRULAH KHAN, Mohamed Nazri menjelaskan perubahan pandangannya mengenai perkara tersebut.
 

UTUSAN: Apa sebenarnya berlaku? Adakah perkara itu ada kaitan dengan Melayu dan Islam?

MOHAMED NAZRI: Jika dulu saya letakkan kepelbagaian kaum sebagai keutamaan nombor satu, sekarang saya percaya untuk ke­langsungan politik, saya perlu utamakan orang Melayu dahulu kemudian kepelbagaian kaum. Kalau kita lihat kerajaan sekarang mereka cenderung ke arah menyu­arakan hak bangsa masing-masing. Sebagai contoh peruntukan khas kepada sekolah-sekolah vernakular yang diberikan DAP, jadi saya fikir politik masa kini perlu mengutamakan bangsa, tetapi pada masa sama tidak me­ngetepikan atau mengabaikan kaum lain.

UTUSAN: Sebelum ini Datuk Seri menolak kerjasama di antara UMNO dan Pas. Kenapa berubah fikiran?

MOHAMED NAZRI: Saya mahu minta maaf kepada semua umat Islam dan Melayu sama ada ahli atau penyokong Pas kerana sebelum ini pernah mengkritik kerjasama UMNO dengan Pas namun kini saya telah menukar fikiran.

Sekarang saya sokong 100 peratus gabungan tersebut, saya akui sudah buat kesilapan dalam kerjaya politik sebelum ini dan kini saya benar-benar mahu lihat (kerjasama) UMNO dan Pas diteruskan.

UTUSAN: Apa yang menyuntik keyakinan Datuk Seri untuk menyokong penyatuan dua parti ini?

MOHAMED NAZRI: Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, UMNO dan Pas bekerjasama dan kemenangan itu mengjangkaui pemikiran saya. Saya pujuk diri saya untuk ubah kepercayaan politik saya. Jika ini langkah terbaik untuk mendapatkan kembali kuasa dan kami perlu kerjasama dengan Pas. Saya yakin bentuk kerjasama ini juga akan memberi manfaat kepada semua rakyat khususnya Me­layu dan Islam tanpa mengetepikan kaum-kaum lain.

UTUSAN: Adakah kerjasama di antara kedua parti boleh menjejaskan sokongan parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional?

MOHAMED NAZRI: Pas yang berprinsipkan agama Islam turut menjaga golongan minoriti. Jadi saya fikir kami berada dalam landasan yang tepat. Sejak 25 tahun lalu Pas memimpin Kelantan saya tidak melihat gangguan terhadap golongan bukan Islam di negeri tersebut.

UTUSAN: Sejauh mana penya­tuan ummah boleh menguatkan gabungan pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

MOHMAED NAZRI: Sama ada parti kita boleh diteruskan atau tidak bergantung kepada kerusi yang dimenangi parti. Saya menyokong penuh hasil usaha sama UMNO dan Pas dalam semua bidang bukan hanya setakat PRK tetapi saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk pastikan ia sampai ke PRU-15. Harap kerjasama ini akan berterusan.