Katanya, lawatannya ke daerah itu adalah atas urusan rasmi kerajaan di bawah tanggungjawabnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jelasnya, beliau sepatutnya dijadualkan ke Julau selepas pemilihan PKR selesai di sana.

“Kalau ikut jadual, lawatan saya sepatutnya selepas pemilihan parti dan ia tiada isu. Tetapi, berlaku penangguhan pemilihan berkenaan. Saya pun tidak bertanding. Jadi, saya berkempen untuk siapa?

“Walaupun ia negeri pembangkang, lawatan saya ke sana adalah untuk menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan mengambil berat. kita tidak melakukan diskriminasi. Itu sahaja yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan kehadiran Wan Azizah ke Julau, Selasa lalu yang hampir dengan Pemilihan PKR Cabang Julau,10 November ini.

Latheefa juga mendakwa Wan Azizah telah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan aset kerajaan selain mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk pembinaan jalan raya di daerah berkenaan. - UTUSAN ONLINE