Beliau meluangkan masa kira-kira satu jam setengah di pejabat SPRM Kelantan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini bermula pukul 9.25 malam.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, beliau dinasihatkan oleh pihak SPRM supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak.

Beliau bagaimanapun mengakui, kehadirannya ke pejabat SPRM Kelantan malam ini bertujuan memberi keterangan berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima dana daripada UMNO yang sedang disiasat SPRM.

"Saya dinasihat (supaya) tidak beri apa-apa komen.. biar dia (SPRM) selesaikan (kes)," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan pejabat SPRM Kelantan, di sini sebentar tadi.

Terdahulu Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri tiba di pejabat SPRM Kelantan pada pukul 9.25 malam dan dilihat keluar dari bangunan itu pada pukul 11.10 malam.

Sebelum ini, Husam antara individu yang dipanggil SPRM untuk memberi keterangan selain Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.

Nik Mohamad Abduh dan Nasharudin selesai memberi keterangan 8 Februari lalu.

Mereka ialah antara individu yang disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima RM90 juta dikatakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN ONLINE