Menurutnya, beliau telah memaafkan Dr. Mahathir kerana mereka bersependapat dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara daripada sebarang salah laku yang melibatkan pemimpin terdahulu.

“Saya dengan Tun (Dr. Mahathir) kawan baik sekarang. Sebab apa kita maafkan? dan kita kini maju?sebab yang kita fikirkan adalah suara rakyat.

“Yang nak marah lama-lama pasal apa? Ini sama-sama kita pun nak bergaduh, bertumbuk, sedangkan saya dengan Mahathir pun dah baik dah,” katanya sambil disambut dengan gelak tawa para hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu kepada pimpinan dan seluruh ahli PKR Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam tadi.

Terdahulu, Anwar menghadiri majlis jamuan makan malam bersama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Adly Zahari dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin di lokasi yang sama bersama kira-kira 800 penyokong PKR seluruh negeri.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau bersama Dr. Mahathir telah mencapai persetujuan untuk membahagikan tugas masing-masing sekembalinya beliau dalam Parlimen sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan nanti.

“Saya dah bincang sebulan lalu dengan Tun, saya masuk Parlimen, Tun jaga negara dan saya jaga Parlimen. Maknanya kita mahu melakukan pembaharuan dalam Parlimen, itu pendirian kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE