Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pembelaan itu perlu oleh kerajaan sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah selepas dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan pejabat Peguam Negara (AG) memutuskan aduan itu mempunyai merit.

“Saya tidak boleh kata sama ada aktiviti kerajaan itu wajar atau tidak untuk diadakan semasa kempen PRK kerana apa yang saya kata tidak relevan.

“Buat aduan yang akan disiasat oleh pihak berkuasa. Kalau dibawa ke muka pengadilan, mahkamah akan menentukan sama aktiviti itu wajar atau tidak, atau jadi satu kesalahan dalam pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Rantau dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung perubahan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bakal memberi faedah kepada Nege­ri Sembilan semasa berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kuala Sawah, Rantau, baru-baru ini.

Azhar Azizan memberitahu, beliau hanya boleh memberi nasihat kepada semua pihak mengenai perjalanan kempen pilihan raya iaitu tidak me­nyalah guna atau menyeleweng kuasa sama ada oleh kerajaan atau sebaliknya.

“Saya bukan hakim atau juri, saya tidak ada kuasa siasatan, saya tidak boleh kata sewenang-wenangnya, kuasa di tangan rakyat atau pengundi, kalau fikir sesuatu perbuatan itu salah dan ada maklumat, sila buat laporan.

“Mengenai kesalahan pilihan raya, saya ambil inisiatif untuk mengingatkan calon supaya mengikut undang-undang dan jangan melanggar peraturan, itu inisiatif saya sendiri,” katanya.

Tambahnya, sepanjang kempen PRK DUN Rantau, sebanyak 15 aduan dibuat kepada polis dan 14 aduan kepada penguat kuasa SPR berkaitan kempen yang tidak mengikut undang-undang, kempen tanpa permit, kain rentang tanpa nama pen­cetak dan kes ugutan.