Ketika ditemu bual oleh wartawan Utusan Malaysia, C. SHEILA RANI dan jurugambar, MOHD. NAJIB MOHD NOR, beliau berharap perbuatan itu tidak disalah anggap sebagai ‘mencari publisiti’.

KUALA LUMPUR 08 OGOS 2018- AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada
 

UTUSAN: Yang Berhormat (YB) dilihat sering melakukan provokasi terhadap blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat. Mengapa YB bertindak demikian?

RAYER: Bagi saya, ia bukan provokasi tetapi mungkin disebabkan beberapa YB yang berbahas dalam Dewan Rakyat tidak memberi ke­sempatan kepada saya untuk menyuarakan pandangan, umpama­nya kelmarin apabila YB Rembau (Khairy Jamaluddin) mengatakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah baik untuk rakyat, saya cuba meminta izin untuk mencelah, namun tidak diberikan, jadi kalau seseorang YB itu sedang berbahas, beliau sepatutnya bersedia menerima pandangan berbeza. Dalam kes ini, beliau tidak memberi ruang jadi saya terpaksa bangun dan menyuarakan pendirian saya.

Provokasi itu mungkin tafsiran rakyat, memang mereka berhak untuk membuat tafsiran.

YB juga sering mengeluarkan perkataan yang agak kasar se­perti ‘kepala bapa kamu’. Bukankah Ahli Parlimen sepatutnya bersikap lebih sopan dan berhemah dalam sidang?

Memang dalam dewan, kita harus bersopan santun dan berbudi bahasa namun kadangkala semasa kita berbahas, ada pihak yang cuba melakukan provokasi atau mengalihkan perhatian. Misalnya, baru-baru ini saya membangkitkan isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan blok pembangkang cuba mengalihkan perkara itu dengan mengatakan isu itu sebagai tidak relevan.

1MDB adalah isu yang relevan, saya merasakan perkara itu patut dibahas balik atau dilayan dengan ‘tegas’. Mungkin segelintir pihak melihatnya sebagai tindakan yang kurang sopan, biadab, kasar dan sebagainya

Kes 1MDB sedang disiasat malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah didakwa di mahkamah. Mengapa YB masih membangkitkannya di dalam dewan?

Rakyat perlu mengetahui apa yang sedang berlaku di negara ini dan isu 1MDB merupakan antara perkara dinantikan mereka. Jadi, ia wajar dibangkitkan walaupun dibicarakan di mahkamah kerana tidak ada pertuduhan khusus yang dibuat terhadap 1MDB.

Yang Dipertua Dewan Rakyat juga telah membenarkan kita untuk membahaskan perkara ini, jadi mengapa tidak boleh berbuat demikian?

YB juga bersedia mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika gagal tunai janji dalam manifesto. Tidakkah tindakan itu menonjolkan kelemahan parti itu sendiri.

Tidak, perbuatan itu menunjukkan kita sebagai sebuah parti yang komited untuk berkhidmat kepada rakyat. Ada cabaran tertentu yang mungkin dihadapi tetapi itu tidak bermaksud bahawa janji-janji itu tidak boleh ditunaikan.

Benarkah YB bersuara lantang semata-mata untuk menarik perhatian atau mencari publisiti?

Saya tidak perlu cari publisiti apatah lagi saya merupakan seorang peguam dan ahli politik yang lama sudah berkecimpung dalam politik.Itu cara saya berbahas, saya bangkitkan semua isu dan memang perbahasan ini sesuatu yang memikat saya untuk hadir ke dewan. Itu adalah amanah yang diberikan, tidak ada sebab saya perlu menonjolkan diri.