Itu pertanyaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan tersebar risalah propaganda yang dikaitkan dengan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Risalah dengan tulisan 'Pencuri, perompak, penyangak, penyamun' 'Malaysia jangan lupa' serta beberapa risalah lain dikesan disebarkan di DUN Semenyih yang kini sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya kecil.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Najib turut berkongsi satu laporan berita dengan tajuk 'Najib umpama kereta antik, orang suka tegok tapi tak beli'.

"Saya cuma pergi ke Semenyih untuk beli sedikit barang di Tesco dan sekali-sekala ke sana untuk test mikrofon.

"Itupun PH mahu panas tiap-tiap hari. Kalau panas sangat, Semenyih ada waterfall. Mandi air sungai, sejukkan badan," tulis Najib.

Najib dalam hantarannya itu juga berkata, dengan menyerang beliau setiap hari tidak akan menyebabkan ekonomi negara bertambah baik dan kos sara hidup rakyat menurun.

"Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud sijil-sijil tipu menteri tiba-tiba menjadi sahih.

"Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud janji-janji mereka telah ditepati dan bukanlah lagi capati free yang dihidang kepada rakyat tiap-tiap hari," kata Najib.-UTUSAN ONLINE