Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, dakwaan yang dibangkitkan oleh Zaharuddin yang juga menantu Presiden Pas itu dilihat tidak berasas kerana jelas bahawa beliau bukan ahli parti Islam tersebut.

Kata beliau, kenyataan yang cuba dibangkitkan Zaharuddin menerusi status dalam akaun Facebook miliknya itu dilihat sebagai masalah dalaman Pas dan perlu diselesaikan dalam kalangan kepemimpinan dan ahli parti sendiri.

“Saya bukan ahli Pas. Saya tak terlibat dengan apa yang berlaku dalam Pas. Saya kira itu masalah dalaman mereka yang perlu diselesaikan.

“Hari ini saya lihat kenyataan (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang bahawa beliau tidak memberi restu. Jadi kalau ayah tidak memberi restu, saya tak fahamlah. Kena selesai cara merekalah,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Ibu pejabat RISDA di sini hari ini.

Ahad lalu, Zaharuddin mendedahkan lima nama singkatan dan bayangan individu yang didakwa terlibat dalam kumpulan kartel dedak, seperti didedahkan beliau sebelum ini.

Lima individu itu didedahkan sebagai ‘Dr. Hussam II (kepala nombor 1)’, ‘Mr NT’, ‘Mr KT’, ‘Mr KH’ dan individu yang kelima sebagai ‘semua dah tahu’.

“Ramai-ramai ni, (individu) nombor 1 tu saja saya fokus. Sebab yang dia buat ‘Mr2’ (individu nombor 2) sampai ‘Mr5’ (individu nombor 5) tak tahu pun.

“Dia maha licik mengalahkan Hussam. Sapu kiri kanan. Dengan Azmin (Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali) pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak,” katanya menerusi status akaun Facebook milik beliau. - UTUSAN ONLINE