Beliau berkata, pihaknya juga akan meneruskan agenda-agenda pembangunan negeri yang dirancang mahu pun yang sudah dimulakan sejak penggal lepas.

"Sesetengah projek dah pun bermula dan kita akan teruskan seperti mana dirancang dan dipersetujui," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Ramadan bagi kawasan Chuping di Dewan 2020, di sini hari ini.

Majlis itu adalah acara rasmi yang pertama beliau hadiri bersama-sama penduduk negeri ini sejak dilantik menjawat jawatan tersebut pada 24 Mei lalu.

Dalam pada itu, ditanya tentang bagaimana beliau hendak menghadapi situasi tanpa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sehingga kini belum dilantik, Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong mengakui ia merupakan satu cabaran.

"Cabaran (tanpa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) sentiasa ada. Cukup setakat itu," katanya ringkas.

Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang cabaran dinyatakan itu mahu pun menyatakan tempoh masa untuk melantik Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta tarikh memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terdahulu dalam majlis penyampaian sumbangan itu, melibatkan seramai 2,332 orang penerima yang menerima sumbangan sebanyak RM150 seorang dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM349,000.

Sebanyak 15 DUN termasuk yang dimenangi pembangkang akan menerima sumbangan sama dalam tempoh terdekat yang melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM4.5 juta.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Sehingga kini, kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Terbaharu, BN negeri melalui Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada semalam, telah menyatakan permohonan ampun kepada baginda berikutan salah faham yang berlaku dalam isu tersebut.

Kesemua mereka walau bagaimanapun tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong Azlan yang dikatakan tidak bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO negeri itu termasuk tidak menghadiri mesyuarat selama empat tahun.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. - UTUSAN ONLINE