Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, segala bantuan yang diberikan kerajaan BN itu adalah tanggungjawab terhadap rakyat selepas diberi mandat memerintah negara sejak 13 penggal pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Menurutnya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah contoh pemberian kerajaan BN kepada rakyat berpendapatan rendah apabila menyedari kos sara hidup yang kian meningkat pada masa kini.

“(Pakatan Harapan) tak payah nak hina seolah-olah rakyat adalah anak ayam atau haiwan ternakan yang diberi makan dedak oleh kerajaan BN. Menjadi tanggungjawab kerajaan memberi apa jua bantuan kepada rakyat termasuk wang tunai mahupun barang-barang keperluan.

“Kalau kita beri bantuan ketika bencana banjir atau ribut, adakah itu dikatakan dedak. Malah ketika Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad) jadi Perdana Menteri pun, kita bagi bantuan tetapi tidak pula dikatakan dedak... sekarang baru kata dedak,” katanya selepas merasmikan program Pemimpin Bersama Anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) Parlimen Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu dedak yang sering digunakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP pada setiap bantuan yang disalurkan kerajaan termasuk pengumuman peruntukan RM1.3 bilion bagi lima projek pembangunan infrastruktur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langkawi, Sabtu lalu.- UTUSAN ONLINE