Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar berkata, langkah itu akan dapat memastikan jumlah mereka yang keluar mengundi mencecah sekurang-kurangnya 60 peratus.

"Saya akan memohon kepada SPR supaya mengadakan pilihan raya pada Sabtu atau Ahad. Ini kerana kita dapati peratusan keluar mengundi bagi tiga PRK sebelum ini kurang memuaskan.

“Saya juga berharap dengan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka PRK Port Dickson akan menjadi lebih meriah,” katanya dalam sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini malam tadi.

Aminuddin berkata, beliau akan menjadi Pengarah Pilihan Raya bagi PRK kali ini dengan dibantu tiga timbalan yang terdiri daripada ketua bagi setiap parti dalam Pakatan Harapan.

Beliau juga yakin PRK Port Dickson tidak akan menjejaskan pemilihan PKR tidak lama lagi dan menyeru ahli parti supaya datang ke Port Dickson untuk turut sama berkempen. - UTUSAN ONLINE