Wan Junaidi
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

Hasrat tersebut dinyatakan melalui keputusan sebulat suara oleh parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan parti baharu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini.

Mengulas keputusan itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, keputusan berkenaan dibuat demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak merupakan negeri yang paling kaya dengan sumber asli dan hasilnya banyak dihakis oleh Kerajaan Persekutuan selama ini.

“Kita mahu mentadbir negeri dengan cara sendiri yang lebih autonomi dan tidak lagi terikat dengan dasar BN.

“Justeru, keputusan untuk keluar adalah untuk menentukan hala tuju kerajaan negeri memandangkan BN bukan lagi kerajaan yang memerintah,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu juga berkata, penubuhan GPS walau bagaimanapun bersifat bebas dan tiada kecenderungan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita akan lebih terbuka demi mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak dengan menyokong dasar yang memberi kebaikan dan membantah dasar yang merugikan,” ujarnya.

Hari ini, empat parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) membuat keputusan untuk meninggalkan BN.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak pagi tadi. - UTUSAN ONLINE