Abang Johari Tun Openg
ABANG JOHARI

Tuntutan diusulkan oleh Tok Nan itu secara spesifik menumpukan kepada keperluan untuk kerajaan Persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.

Sebelum Tok Nan meninggal dunia, beliau hanya sempat menyaksikan fasa pertama bagi rundingan berhubung tuntutan itu diluluskan oleh kerajaan Persekutan.

Tarikh 21 Januari 2016, dianggap sejarah bagi rakyat Sarawak apabila Tok Nan dalam satu sidang akhbar khas sekembali mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya telah mengumumkan khabar gembira iaitu kejayaan pertama berhubung tuntutan MA63.

Dalam suasana ceria dan 'mood' cukup baik, Tok Nan mengumumkan senarai 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri.

Antara tuntutan diluluskan menerusi fasa rundingan pertama itu ialah para Pegawai Undang-undang Negeri diberi tauliah oleh Pendakwa Raya mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut Ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.

Jawatan dalam Jabatan Imigresen Sarawak diperkemas bagi menambah baik fungsi penguatkuasaan di negeri ini melalui penambahan 100 jawatan baharu, dengan pengisian sepenuhnya dibuat menjelang akhir Februari 2016.

Nisbah guru kelahiran Sarawak yang berkhidmat di negeri ini dinaikkan kepada 90 peratus daripada keseluruhan jumlah guru di Sarawak menjelang 2018.

Turut dipersetujui ialah rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri dalam merangka undang-undang Persekutuan yang mempunyai kaitan atau memberi kesan terhadap kerajaan negeri Sarawak seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Namun, Tok Nan tidak sempat meneruskan perjuangan mendapatkan tuntutan bagi fasa kedua dan ketiga apabila meninggal dunia tetapi penggantinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg komited meneruskan usaha tersebut.

Proses rundingan fasa kedua yang menyentuh tentang hak negeri ini berkaitan pencerobohan kerajaan Persekutuan terhadap kuasa negeri dan fasa ketiga, mengenai permohonan royalti minyak dan gas daripada 5 peratus kepada 20 peratus berjalan lancar kerana mendapat kerjasama baik Perdana Menteri.

Terbaru dalam lawatan kerja ke Sarawak semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan tuntutan MA63 akan menjadi manifesto utama Barisan Nasional (BN) bagi Sarawak dan Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semalam juga, Abang Johari ketika ucapan semasa merasmikan Penutupan Program Bina Semangat Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak di Santubong, membayangkan bahawa pengumuman penting bakal diumumnya berkaitan MA63 esok, mempunyai kaitan dengan sumber asli.

Kenyataan beliau menimbulkan teka-teki adalah berita gembira bakal dikhabar itu berkaitan dengan tuntutan royalti minyak 20 peratus.

Jika benar, rakyat Sarawak ibarat mendapat 'durian runtuh' kerana pertambahan sumber kewangan daripada hasil minyak dan gas memang amat diperlukan untuk membangunkan negeri ini yang masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung. - UTUSAN ONLINE