Sarawak bebas feri menjelang 2023
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan 11 jambatan membabitkan kos RM5 bilion itu merupakan projek di bawah Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua Sarawak yang menelan keseluruhan kos berjumlah RM11 bilion.

Katanya, pembinaan jalan alternatif menghubungkan kawasan penempatan pesisir pantai dan luar bandar Sarawak ini dibiayai bersama antara kerajaan negeri dan Pusat yang dijangka bermula pada akhir tahun ini dan selesai dalam tempoh 10 tahun iaitu menjelang 2028.

“Sebenarnya, ada antara jambatan yang dibina ini sudah pun siap dan dibuka kepada pengguna termasuk Jambatan Batang Sadong, manakala beberapa lagi masih dalam pembinaan dan hampir siap seperti Jambatan Samarahan dan ada yang dalam proses tender tetapi semua reka bentuknya sudah ada.

“Kerajaan negeri cukup komited menaik taraf jalan pesisir pantai dan membina jambatan menghubungkan sungai di kawasan luar bandar kerana menyedari sistem pengangkutan baik dapat meningkatkat taraf ekonomi penduduk di sini,” berucap merasmikan Seminar Pembangunan Jalan Pesisir Sarawak anjuran Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Menteri Muda Jalan Pesisir negeri, Datuk julaihi Narawi; Menteri Muda Pengangkutan negeri, Datuk Dr. Jerip Susil dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, menyedari keperluan tersebut, kerajaan negeri tidak kisah mengeluarkan peruntukan tinggi, meskipun sedar projek dibina bukannya mudah ekoran keadaan geografi Sarawak yang luas dan banyak sungai.

Namun, ujarnya, beliau yakin masalah kewangan bukan menjadi isu kerana boleh mendahulukan pinjaman daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) untuk membiayai pembinaan kemudahan infrastruktur berkenaan.

“Apabila semua jambatan ini siap, feri di Sarawak akan tidak lagi digunakan, malah lebih istimewa ialah jalan raya di negeri ini akan bebas tol.

“Saya akan memastikan tiada tol dikenakan untuk jalan raya di Sarawak kerana masih ingat kata-kata Tok Nan (bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem).

“Beliau kata, `perkataan tol jika ditambah huruf `y,o’ ditengahnya akan menjadi `toyol’,” katanya. - UTUSAN ONLINE