Walaupun hanya khabar angin, Ahli Parlimennya, DATUK JOHARI ABDUL (gambar) mengesahkan bahawa beliau bersedia menyerahkan kerusi yang disandangnya selama tiga penggal itu kepada Anwar.
Beliau menjelaskan lebih lanjut tentang perkara itu kepada wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI ketika ditemu bual di lobi Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR, 9 OGOS 2018 - Reaksi Ahli Parlimen Sungai Petani
 

 

UTUSAN: Datuk mempunyai rekod yang baik sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal. Mengapa membuat keputusan yang mengejutkan ini?

JOHARI: Keputusan tawaran ini dibuat semasa Anwar berada di Turki lagi. Daripada hendak biar dia memikirkan perkara ini, lebih baik kita yang tawarkan. Banyak benda yang dia hendak fikir dan kena fikir kawasan mana pula yang hendak bertanding.

Saya sebagai pemimpin senior, saya berkata dia mesti kembali. Sudah tiga penggal saya di sini. Apa lagi yang hendak dicari? Lebih baik kita bagi dia (Anwar) kerana dia pasti jadi Perdana Menteri. Itu seperti yang termaktub dalam perjanjian dia dengan Pakatan Harapan. Dalam dua tahun ini, kita tidak mahu dia ada masalah itu dan kerusi terbaik adalah Sungai Petani.

Datuk mempunyai soko­ngan yang kuat di Sungai Petani. Adakah pengundi di sana akan menyokong Anwar juga?

JOHARI: Kemenangan saya di sini adalah atas pelbagai faktor. Sokongan kepada PKR 30 peratus, faktor saya sendiri 30 peratus dan bakinya mungkin faktor suasana pada waktu itu. Asas saya juga kuat. Sudah tentu sokongan rakyat yang kuat. Saya rasa pengundi gembira bakal Perdana Menteri akan bertanding di kawasan mereka. Semua akan sokong beliau. Saya pasti akan turun berkempen sama.

Adakah keputusan ini bermakna Datuk mahu menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun?

JOHARI: Ya. Saya akan beri tumpuan sepenuhnya.

Bagaimana pula dengan jawatan Datuk sebagai Pengerusi Majlis Penyokong Kerajaan?

JOHARI: Ini tidak ada apa. Mereka akan lantik pengerusi yang lain. Cuma lantik pengerusi sahaja sama ada jawatan timbalan akan naik jadi pengerusi atau mana-mana calon lain yang lebih layak. Ini benda kecil sahaja. Ada dua tiga orang yang lebih baik daripada saya.

Datuk akan bertanding mere­but jawatan Naib Presiden PKR. Bagaimana dengan peluang Datuk untuk menang?

JOHARI: Keyakinan saya untuk menang 100 peratus. Bukan kerana saya bijak tetapi berikutan hubungan saya dengan kawan-kawan. Saya pengasas PKR. Dari hari pertama sehingga sekarang, saya sentiasa memegang jawatan seperti menjadi ahli Biro Politik, ahli Majlis Pimpinan Pusat dan saya juga Ahli Parlimen selama tiga penggal. Saya juga ketua cabang. Untuk itu, saya ada hubungan baik dengan kawan-kawan.

Saya yakin kawan-kawan akan memberi sokongan. Malah, saya telah berkorban pada penggal yang lalu kerana menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR. Itu pun atas permintaan Anwar. Kalau ikutkan, saya hendak menjadi Naib Presiden pada waktu itu.