Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, permohonan maaf itu dibuat berikutan sedikit ketegangan antara media dan pegawai SPR yang bertugas di sekolah berkenaan.

Jelas beliau, selama ini hubungan antara SPR dan media sangat rapat dan saling memahami namun sesekali akan berlaku kejadian ssperti ini.

"Bagi pihak SPR, saya memohon maaf atas kejadian yang berlaku tadi di pusat pengundian ini. Sebenarnya, sangat jelas arahan kita bahawa petugas media dibenarkan memasuki ke pusat pengundian, cuma dilarang masuk di saluran.

"Mungkin ada salah faham antara saluran dan pusat mengundi, kadangkala pegawai bertukar dan kurang jelas," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di pusat pengundian SMK Cheras Perdana, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 20 petugas media yang membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di pusat pengundian SMK Cheras Perdana tidak dibenarkan memasuki pekarangan sekolah berkenaan. - UTUSAN ONLINE