Bahkan dalam tempoh tersebut, bunyi tembakan AK-47 bukan lagi mendatangkan gerun tetapi bingit raifal era Soviet Union yang dilepaskan ke udara itu menandakan kegembiraan tahap maksimum rakyatnya.

Barisan 25 pemain Iraq berjaya membawa 25 juta rakyatnya bersatu - tugas yang gagal dilakukan pemimpin politik negara yang dibelenggu konflik berdarah. Itulah kuasa yang ada pada bola sepak, memang magis.

Bagi Malaysia, walaupun situasi kita bukanlah seperti di Iraq, namun tahun 2018 boleh tahan berkecamuknya. Ingat bila selesai pilihan raya umum, suhu politik kembali sejuk namun telahan itu silap, satu demi satu adegan terjadi seolah tiada penghujung.

Itu belum mengambil kira insiden-insiden lain lagi. Macam-macam berlaku tahun ini, rusuhanlah, demonstrasi besar-besaran selain ekonomi yang menyesakkan ramai terutama orang kampung akibat kejatuhan harga komoditi.

Maka, Harimau Malaya ayuh, hadiahkan kami ‘kenikmatan’ seperti mana skuad Iraq yang terkenal dengan jolokan Singa Mesopotamia lakukan pada 2007. Ini peluang terbaik membawa pulang ‘Piala Dunia versi Asia Tenggara’ ke negara ini buat kali kedua.

Perlawanan Piala AFF 2018 peringkat kumpulan, separuh akhir dan final pertama di Bukit Jalil sudah mencatat sambutan luar biasa. Ternyata mereka mencari penawar menerusi bola sepak setelah penat dengan hal-hal yang melingkari negara sepanjang 2018.

Bertemu Vietnam dalam perlawanan akhir kedua di Hanoi malam esok, Malaysia hanya selangkah. Harapnya penutup 2018 cukup indah dengan penyatuan rakyat Malaysia meraikan kejayaan menjulang Piala AFF. Kami doakan kemenangan Harimau Malaya. - UTUSAN ONLINE