Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, dalam setiap perjalanan PRK, persoalan yang timbul bukan sahaja siapa dan pihak mana akan memenanginya tetapi bagaimana bentuk kempen itu dilaksanakan.

“Adakah bentuk kempen iaitu UMNO dan Pas bekerjasama sesuatu yang sesuai untuk politik Malaysia yang seharusnya bergerak ke tengah ataupun sebaliknya. Ini persoalannya bagi saya adalah lebih besar dari menang dan kalah.

“Kempen berasaskan kaum dan agama apabila disatukan sedemikian rupa adakah itu sesuatu yang memang dikehendaki oleh rakyat? Satu berasaskan kaum dan satu lagi berasaskan agama, dalam bentuk yang ada sekarang, adakah itu sesuatu yang sihat untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran jurnal ‘Current Southeast Asian Affairs Special Issue, The 2018 Malaysian General Election: The Return of Mahathir and the Exit of UMNO’ di Universiti Sunway, di sini hari ini.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini disifatkan banyak pihak sebagai bukti di blok pembangkang bahawa perpaduan semakin kukuh di antara UMNO dan Pas.

Malah berdasarkan faktor tersebut juga, Pas telah menyerahkan mandat kepada BN untuk meletakkan calon dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijadual diadakan pada 2 Mac ini.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, Mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan pada 1 Februari nanti akan membincangkan mengenai kekalahan di PRK Cameron Highlands dan mengenai PRK Semenyih.

“Tentu kita akan buat post-mortem tentang PRK Cameron Highlands dan tentu ada perbincangan mengenai PRK Semenyih,” katanya. - UTUSAN ONLINE