Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya perlu melihat terlebih dahulu draf pindaan undang-undang tersebut meskipun mempunyai pendirian yang bertentangan.

“Jangan ‘perang’ sebelum bincang. Setiap keputusan perlu mengambil kepentingan semua masyarakat. Kita tidak boleh menganggap pindaan itu sebagai suatu yang melampaui batas.

“Kita akan melihat secara objektif, tidak boleh membuat andaian, kena tengok dahulu kandungan draf itu dan bersedia untuk berdepan pelbagai dugaan atau rasa tidak puas hati,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai RUU 355 yang akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan dalam sidang Dewa Rakyat kali ini bagi mendapatkan kelulusan.

Ketika ditanya mengenai kerjasama BN dengan ‘rakan baharu’ yang pernah menjadi musuh politik, Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO itu sebagai analogi semata-mata.

Jelas beliau, hubungan antara UMNO, MCA dan MIC telah terjalin ketika menubuhkan Parti Perikatan, maka setiap keputusan dicapai secara konsensus dan kolektif.

“Soal kawan ini kena hati-hati, mungkin ia hanya analogi yang digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri atau mungkin beliau bergurau.

“Hubungan akrab antara UMNO, MCA dan MIC telah lama dan kita sama-sama yang memulakan Parti Perikatan. Ikatan persahabatan sesama parti komponen perlu dikekalkan sebab itu yang mengutuhkan hubungan sebagai keluarga,” katanya. - UTUSAN ONLINE