Kenyataan itu dikeluarkan selepas PKR Selangor turut sama membuat pusingan U, dengan menyokong usul pindaan RUU 355 dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat minggu lalu, sekali gus meninggalkan Rafizi yang bertelagah dengan Presiden Pas itu berseorangan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya bersetuju serta menyokong RUU 355 selain menghormati hak Abdul Hadi untuk membentangkannya sebagaimana dibenarkan di bawah peraturan-peraturan Dewan Rakyat.

“Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli parti jika berlainan dengan dasar 
yang dipersetujui secara bersama dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), ia adalah bersifat peribadi seperti mana yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Invoke.

“Kita (PKR Selangor) menegaskan, RUU 355 
wajar diberikan sokongan dan perhatian oleh umat Islam dan ia tidak sama sekali akan menyentuh hukuman kepada orang bukan Islam bahkan pada waktu sama, kita juga kekal menghormati hak penganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.