Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hasan berkata, para mufti adalah paling layak me­ngangkat satu keputusan muktamad menerusi muzakarah itu ke arah meninggikan syariat Allah kerana perkara berkaitan agama Islam tidak wajar menjadi perdebatan umum secara tidak sihat dalam kalangan ilmuwan Islam sendiri.

“Para mufti boleh mendapat penjelasan langsung (menerusi muzakarah itu) daripada orang yang bertanggungjawab membawa Rang Undang-undang persendirian bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

“Platform itu boleh membahaskan mengenainya, sekali gus menyelaraskan kefahaman dan keputusan serta tindakan pihak mufti negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali mengajak mana-mana pihak untuk berdiskusi mengenai kewajipan menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah itu memandangkan ada dalam kalangan agamawan Islam sendiri yang masih keliru dengan RUU 355 itu.