Kamarul Azman

Bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, ROS tidak boleh berkompromi lagi terhadap tindakan Majlis Tertinggi PPBM berhubung isu berkenaan yang didakwa melanggar ketetapan perlembagaan parti tersebut.

Menurutnya, hal ini adalah berikutan alasan yang diberikan mereka adalah tidak munasabah dan meragukan.

“Alasan mereka untuk tidak melibatkan ahli cawangan dan bahagian yang dipilih pada me­syuarat agung itu kerana tidak ditubuhkan lagi adalah tidak munasabah dan melanggar ketetapan perlembagaan.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Oleh itu, saya sendiri sebagai penaja ROS akan membuat laporan berkenaan beberapa perkara bertentangan dengan perlembagaan dan penipuan yang berlaku dalam parti dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ramai pemimpin bahagian PPBM tampil membuat laporan kepada ROS berhubung kegagalan pimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti berkenaan.

Sebelum ini, PPBM mengadakan mesyuarat agung sulungnya di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor tanpa melibatkan perwakilan yang dipilih melalui mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan sayap parti berkenaan.

Dalam nada sama, bekas Ketua Srikandi PPBM merangkap Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata, terdapat lebih 400 aduan yang dibuat ke atas parti itu kepada ROS berkaitan isu dakwaan perlanggaran perlembagaan.

“Apabila timbul isu perlembagaan parti dalam penganjuran mesyuarat agung PPBM, saya anggap ia perkara ‘biasa’ bagi pentadbiran sebuah parti ‘sampah’. Jika parti ‘setahun jagung’ mampu melakukan pemalsuan dokumen, perlanggaran perlembagaan, pelantikan berdasarkan kronis­me, bayangkan apa yang akan terjadi jika parti ini diberi mandat besar untuk mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bagi memberi keadilan kepada perjuangan yang kononnya membela rakyat dan memerangi penyalahgunaan kuasa, Empirical Malaysia menggesa dan mendesak pihak ROS untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menyiasat lebih 400 aduan yang diterima membabitkan perkara ini,” katanya.