Ketua Pengarah ROS, Sura­yati Ibrahim berkata, kenyataan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh bahawa parti tersebut telah membuat AGM pada 2 November 2016 adalah tidak tepat.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini tiada sebarang AGM telah diadakan dan dilaporkan kepada pihak ROS.

“Pihak ROS telah meneliti minit Me­syuarat Agung Khas PPBM 2016 dan mendapati hanya 12 orang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang direkodkan hadir.

“Dalam mesyua­rat yang sama juga mereka menetapkan untuk membuat pindaan Perlembagaan PPBM, sedangkan dalam Fasal 28 perlembagaan parti itu sendiri menyebut bahawa sebarang pindaan perlu dipersetujui tidak kurang daripada dua pertiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan agung tahunan atau perhimpunan agung khas,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Menurut Surayati, pihaknya juga pernah menerima permohonan parti itu untuk menangguhkan AGM, namun selepas dirujuk pada perlembagaannya mendapati tiada fasal atau peruntukan yang membolehkan penangguhan mesyuarat itu dibuat.

Tegasnya, kesalahan tidak mengadakan AGM merupakan sangat serius dan telah melanggar perlembagaan parti itu sendiri sehingga boleh menyebabkan pembatalan pendaftaran.

Mengulas lanjut, katanya, parti itu bukan sahaja gagal mematuhi perlembagaannya dalam isu AGM untuk dibuat dalam tempoh setahun penubuhannya, malah telah menggunakan istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang tidak pernah wujud bagi menggantikan Pemuda.

Katanya, penggunaan istilah Armada adalah tidak sah dan tidak diiktiraf oleh pihaknya sekali gus menjadi satu kesalahan yang boleh diambil tindakan serius terhadap PPBM termasuk dengan pembatalan parti.

Surayati berkata, pucuk pimpinan PPBM perlu tahu bahawa kesalahan melanggar perlembagaan parti merupakan perkara sangat serius dan pernah terjadi kepada UMNO sehingga diharamkan pada 1988.

“Dalam hal ini, PPBM sendiri yang melanggar perlembagaan parti dengan membenarkan sayap pemudanya yang dinamakan Armada beroperasi sedangkan belum mendapat kelulusan pindaan perlembagaan dan belum mengadakan perhimpunan agung tahunan.

“Pada masa sama, saya juga memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak memanipulasi isu ini dengan menye­rang atau membuat tohmahan tanpa asas terhadap ROS. Sekiranya tuduhan ini terus berlaku saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” katanya.