Beliau berkata, kajian semula perlu dilakukan terhadap Peraturan Mesyuarat 85 Dewan Rakyat yang tidak membenarkan mesyuarat prosiding jawatankuasa dibuat secara terbuka.

Ahli Parlimen Beluran itu memberitahu, langkah tersebut bertujuan memastikan semua prosiding PAC dijalankan secara telus, berakauntabiliti dan penuh kredibiliti.

“Di samping itu, keahlian wakil tetap PAC perlu ditambah dengan wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Cadangan ketiga adalah memberi slot masa khas untuk pembahasan laporan PAC dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bilik media bangunan Parlimen, hari ini.

Ronald menambah, cadangan keempat adalah Kementerian Kewangan perlu membentangkan laporan penuh kepada PAC mengenai tindakan yang diambil terhadap setiap syor dan cadangan yang dikemukakan jawatankuasa tersebut.

“Ini berdasarkan Arahan Perbendaharaan 304(b) kerana sebelum ini segala cadangan dan syor yang dikemukakan PAC kepada Kementerian Kewangan hanya diambil maklum,” katanya. - UTUSAN ONLINE