Penganalisis politik Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, lazimnya keputusan untuk menukar, menggugur atau melantik anggota Kabinet akan dibuat oleh Perdana Menteri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak atau desakan pihak luar.

“Barangkali Tun Dr. Ma­ha­thir Mohamad masih menghalusi prestasi anggota Kabinet.

“Tempoh masa 10 bulan mungkin terlalu singkat bagi Perdana Menteri menilai menteri-menteri Kabinetnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, Dr. Mahathir mahu menteri-menteri sedia ada diberi peluang meneruskan tugas-tugas mereka untuk satu tempoh yang ditetapkan.

“Kebanyakan anggota Kabinet adalah muka baharu yang kurang pengalaman berbanding anggota-anggota Kabinet era Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Tidak dinafikan pada masa ini wujudnya persepsi dalam fikiran rakyat terdapat beberapa orang menteri yang tidak berjaya menjalankan tugas dengan baik.

“Namun mungkin pada fikiran Perdana Menteri, persepsi itu bersifat sementara dan bakal berubah daripada tidak puas hati kepada harapan dan kepercayaan berikutan beberapa polisi diperbaiki dan usaha sedang dipertingkatkan oleh kerajaan,” katanya.