Irmohizam Ibrahim

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya juga berharap rombakan Kabinet dilihat secara profesional dan rasional, bukan secara emosi.

Katanya, semua pihak seharusnya ber­tenang dan menerima segala keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Keputusan untuk merombak Kabinet merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri dalam menentukan anggota pentadbirannya, dengan mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran negara.

“Saya berharap rakyat harus bersatu dalam saat ini dan sebarang konflik serta perpecahan sesama kita hanya akan menguntungkan pihak luar yang sememangnya sedang bertungkus-lumus untuk menumbangkan kerajaan dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pihak­nya berharap golongan belia tidak sewenang-wenangnya terpedaya dengan perkara yang viral dalam media sosial kerana bukan semuanya benar malah kebanyakan perkara sedemikian sebegini dilakukan oleh pihak-pihak berkepen­tingan.

“Diharapkan barisan Kabinet baharu ini akan terus mengutamakan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dan mereka (rakyat) juga harus memberikan kepercayaan kepada semua anggota Kabinet supaya dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya,” katanya.