Sebaliknya, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, proses itu sekiranya berlaku, merupakan perkara biasa ke arah memperkemaskan jentera pentadbiran.

Pada masa sama, menurut beliau, segala keputusan terserah kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menentukan.

“Dari manakah anda (wartawan) dapat tahu perkara ini? Saya pun tidak tahu mengenainya... dan jika benar khabar angin tersebut akan berlaku, ia adalah proses biasa yang hanya kepemimpinan parti berhak memutuskannya.

“Jadi, sebagai Ahli MPT Bersatu saya tidak berhak mengulas lanjut mengenainya, kami serah kepada pucuk kepimpinan tentukan dan kami menyokong segala keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018, di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Alor Gajah itu, ura-ura yang mengaitkan dua Menteri kanan dari parti Bersatu terlibat dalam rombakan tersebut, tidak sepenuhnya benar kerana rata-rata barisan Menteri Kabinet ketika ini baru enam bulan mengetuai kementerian.

“Tempoh enam bulan terlalu singkat untuk membolehkan mereka lancar mentadbir, namun jika ada keperluan merombak, maka saya pasti ia hanya proses kelancaran pentadbiran bagi kerajaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE