Najib berkata, walaupun dalam ‘communique’ atau pernyataan asal oleh pihak AS mengenai lawatan tidak menyentuh isu mengenai Rohingya, namun beliau sendiri telah meminta Presiden AS, Donald Trump memasukkan perkara itu dalam pernyataan lawatan yang diadakan.

Katanya, gesaan itu telah berjaya, apabila AS serta-merta mengumumkan bantuan kemanusiaan sebanyak AS$32 juta (RM134 juta) kepada pelarian Rohingya dan terbaharu memutuskan bantuan ketenteraan kepada Myanmar.

“Saya telah ketengahkan isu Rohingya ini secara spesifik dan jelas, yang disambut baik oleh Trump. Ini adalah satu daripada kejayaan Malaysia dan maknanya kita ada pengaruh di dalam isu-isu antarabangsa,” katanya dalam sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang bertanyakan apakah isu dan bentuk bantuan kepada etnik Rohingya yang dibincangkan antara Najib dan Trump semasa lawatan Perdana Menteri ke AS pada September lalu. - UTUSAN ONLINE