Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan dengan segera dan komitmen semua pihak di setiap peringkat kepemimpinan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, kepemimpinan parti di semua peringkat perlu berfikir dan bekerja seperti pembangkang untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.

Malah, katanya, semua saf kepemimpinan perlu berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti yang menjadi benteng kepada orang Melayu Islam di negara ini.

“Rakyat telah bersuara, orang muda khususnya melihat perjuangan UMNO pada hari ini sudah tidak relevan meskipun parti telah lebih enam dekad menyumbang bakti kepada bangsa dan negara.

“Justeru roh pembangkang dalam DNA UMNO ini akan mengembalikan semangat UMNO untuk berani menentang seperti era kewujudan Malayan Union. Jangan takut untuk membuat teguran walaupun perkara itu tidak sedap didengar,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau hari ini. – UTUSAN ONLINE