Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebanyak sembilan projek sudah dirancang tidak termasuk projek pembangunan yang diumumkan secara langsung semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri ke negeri ini.

Katanya, antara projek yang dirancang ialah pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bernilai RM110 juta dan naik taraf jalan dari Simpang Empat ke Bagan Datoh bernilai RM100 juta.

Menurut Zambry, sebuah jambatan dari Bagan Datoh ke Kampung Sejagop bernilai RM350 juta juga akan dibina selain kompleks sukan berharga RM31 juta dan pembinaan Pusat GiatMara bernilai RM6.5 juta.

“Sebanyak 39 projek akan dilaksanakan di Bagan Datoh melalui peruntukan khas seperti pembinaan terminal jeti, water front, naik taraf jalan, pembinaan dewan serbaguna dan beberapa projek lain untuk kemudahan rakyat.

“Perisytiharan Bagan Datoh sebagai sebuah daerah pentadbiran baharu bertujuan membawa pembangunan seimbang, selaras de­ngan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak negeri maju,” katanya ketika menjawab soalan S. Kesavan (PKR-Hutan Melintang) dalam persidangan Dewan Undang­an Negeri (DUN), di sini hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil rakyat yang sama, Zambry berkata, untuk memastikan pembangunan di daerah itu seiring dengan daerah lain, Bagan Datoh telah dima­sukkan di bawah Pihak Berkuasa Pelaksa­naan Koridor Utara (NCIA).

“Bagan Datoh turut dima­sukkan ke dalam Pelan Pemba­ngunan Wilayah Selatan bagi tujuan pembangunan sepanjang kawasan pantai sehingga ke Tanjung Malim,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengumumkan Pulau Sembilan yang sebelum ini di bawah dae­rah Manjung kini diletakkan di bawah pentadbiran daerah Bagan Datoh.

Katanya, ini kerana kedudukan gugusan pulau berkenaan yang le­bih dekat dengan Bagan Datoh berbanding Pulau Pangkor atau Lumut.

“Diharapkan Pulau Sembilan akan dipelihara untuk tarikan pelancong dan tidak berlaku kerosakan terhadap ekosistemnya,” katanya.