Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, peruntukan tersebut disalurkan kerana kerajaan sentiasa peka kepada keperluan setiap kaum di negeri ini yang hidup dalam semangat perpaduan sejak sekian lama.

"Dulu semasa saya baru menjadi Ketua Menteri saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri supaya naikkan peruntukan RM30 juta setahun.

"Kerajaan ada duit maka kita berikan peruntukan, sekarang sudah RM300 juta diberikan kepada sekolah-sekolah Cina dan rumah ibadat," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Angpau anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCS), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Presiden FCS, Tan Sri T.C Goh dan pemimpin-pemimpin kaum itu.

Dalam majlis berkenaan, Musa turut memberikan angpau sebanyak RM50,000 kepada tabung FCS.

Sementara itu, dalam ucapannya, Musa berharap semua kaum termasuk ahli perniagaan Cina dapat mempergiatkan lagi usaha untuk bersama-sama membangunkan negeri terutama dalam sektor pelancongan.

Katanya, kerajaan China telah menyatakan komitmen untuk menghantar sejuta rakyatnya melancong ke Sabah setiap tahun, justeru terpulang kepada rakyat negeri ini untuk menyahut cabaran tersebut.

"Dalam lawatan saya ke China sebelum ini, saya berjumpa dengan pemimpin mereka yang bertanya berapa rakyat China datang Sabah setiap tahun dan saya kata 450,000 orang.

"Dia beritahu saya, kami boleh hantar satu juta orang ke sana tetapi cukupkah hotel, pusat beli-belah tempat-tempat pelancongan di sana, jadi kita perlu sediakan semua ini," katanya.