Dengan nada menyindir, Timbalan Perdana Menteri berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang merupakan ‘tokoh’ berjasa kepada negara akan mengulangi kesilapan dilakukan sebagaimana ketika 22 tahun memegang tampuk kepe­mimpinan.

Beliau juga percaya, Dr. Mahathir hanya akan melakukan ke­rosakan kepada negara sekiranya dipilih menjadi Perdana Menteri semula.

“Resolusi dibuat pakatan itu adalah tepat, cukup baik dan kena pada tempatnya kerana tokoh itu cukup ‘berjasa’ kepada negara selama 22 tahun. Insya-Allah kalau beliau diberikan tempat semula, maka kesalahan-kesalahan terdahulu akan diulangi semula.

“Itu adalah satu kitar semula yang memang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk melihat bahawa tidak ada tokoh lain yang lebih layak dalam pakatan tersebut selain beliau yang cukup berjasa untuk terus melakukan kerosakan dan kebejatan kepada negara,” sin­dirnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2018 yang bertemakan Pemangkin Generasi Bebas Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim; Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi MCPF Kuala Lumpur, Bok Siew Mun.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu dibincangkan dalam konvensyen hari ini, Ahmad Zahid memberitahu, negara mempunyai pelbagai undang-undang untuk kesalahan juvana, tetapi ada antaranya yang perlu dikaji semula.

Langkah itu, kata beliau, adalah supaya undang-undang tersebut bukan semata-mata menghukum tetapi pada masa sama memberikan pendidikan kepada pelaku.

“Sebagai contoh kokurikulum yang diajar di Sekolah Henry Gurney telah berkesan kepada pelaku jenayah kanak-kanak atau juvana berbanding diletakkan mereka di penjara,” katanya.