Dalam wawancara dengan wartawan, DIANA AZIS dan jurugambar IZZUL AHMAD, beliau berkongsi tentang dua tugas tersebut serta suasana politik di Parlimen itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Utusan: Bagaimanakah cabaran melaksanakan dua tugas dalam satu masa?

HASAN MALEK: Kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada saya sama ada sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah mahupun sebagai Duta Besar (ke Kemboja), kedua-duanya adalah tugas untuk negara. Tiada perbezaan tanggungjawab tersebut di mata saya dan yang penting adalah pengurusan masa.

Saya pulang ke kawasan hampir setiap minggu untuk me­nyantuni pengundi. Dari tangga rumah Duta Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja ke rumah saya di Kuala Pilah, hanya memakan masa 2 jam 30 minit.

Ini lebih dekat berbanding waktu diambil sebahagian ahli-ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak pulang ke kawasan mereka. Oleh itu, jarak bukan halangan untuk saya terus berbakti di Kuala Pilah.

Sejauh mana keyakinan BN dapat mengekalkan rekod bersih menang di kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Kita tidak pernah dan tidak akan memandang ringan cabaran parti lawan di mana-mana kawasan sekali pun. Keghairahan mereka untuk menawan Parlimen dan DUN di bawah kawasan saya memang wujud sejak puluhan tahun lagi.

Dalam senario politik hari ini, fitnah hanya dapat dikalahkan dengan rekod kecemerlangan gerak kerja. Pengundi Kuala Pilah cukup arif dengan permainan politik pembangkang dan mampu menilai secara matang serta adil rekod wakil-wakil rakyat BN dan UMNO.

Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah muncul sebagai kubu baharu UMNO dan kita yakin mempertahankan kerajaan negeri serta Parlimen Kuala Pilah dan DUN di bawahnya.

Apakah isu yang dekat dengan hati Datuk Seri di Kuala Pilah?

Pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi fokus utama saya dan harapan masyarakat di Kuala Pilah.

Aset terbesar adalah modal insan dan bakat serta kemampuan mereka akan kita gembleng bagi tempoh lima tahun akan datang demi kemajuan daerah ini dan negeri.

Dengan adanya gabungan kepimpinan pelbagai peringkat termasuk komponen BN seperti MCA, MIC dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Ve­teran Angkatan Tentera Malaysia, saya ya­kin tanggungjawab tersebut dapat digalas dengan berkesan.

Ada tanggapan mengatakan BN sukar untuk mendapat sokongan pengundi muda pada PRU-14?

Pengundi muda sememangnya kelompok yang kritis, bukan sahaja kepada BN malah pembangkang dan oleh sebab itu, kedengaran wujudnya kempen undi rosak oleh golongan tersebut.

Kempen itu sebenarnya suara protes terhadap pembangkang na­mun bagi kerajaan BN, kita menyediakan platform untuk men­dengar suara hati mereka me­nerusi program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Apabila suara mereka menjadi sebahagian dasar kerajaan, saya yakin gelombang sokongan pengundi muda kepada BN pasti akan berlaku dalam PRU-14.

Jika berlaku persaingan tiga penjuru di Kuala Pilah dan kawasan-kawasan lain adakah ia memberi kelebihan kepada BN?

Semua parti pembangkang adalah lawan kepada BN, tidak kira tiga atau lebih penjuru, ia bukanlah strategi utama kita. Kita tidak bo­­leh berharap keadaan itu berpihak kepada BN sahaja dan jentera kita tidak boleh dicuaikan dengan analisis mengenai kewujudan pertembungan tiga penjuru.

Fokus utama kita adalah menang di semua kawasan dan ini boleh dicapai dengan me­laksanakan gerak kerja proaktif dan berterusan.