Contoh paling mudah, letak calon daripada parti komponen di satu-satu kerusi yang belum masuk gelanggang pun sudah diketahui bakal kalah.

Antaranya, kerusi Parlimen Kota Raja, Klang dan Bandar Tun Razak - yang masing-masing tempoh hari ditandingi calon MIC dan MCA.

Di Kota Raja, calon MIC kalah dua kali di situ di tangan calon Melayu pembangkang. Tewas pun bukan sedikit, bahkan dengan jumlah undi besar, 29,395 undi pada 2013 dan 20,751 undi pada 2008.

Di Bandar Tun Razak, tiga penggal wakil MCA menang di situ tetapi pada 2008, Datuk Tan Chai Ho kalah 2,515 undi di tangan calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Dan berulang lagi kekalahan pada 2013 dengan anak Chai Ho pula iaitu Tan Kok Eng tewas 11,800 undi di tangan calon sama.

Lebih memalukan lagi, pesaingnya Abdul Khalid dilaporkan hanya hantar wakil PKR untuk mengesahkannya bertanding pada hari penamaan calon.

Mendepani cabaran getir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN kena realistik. Mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dikaji demografi pengundinya bahawa tidak layak diletakkan calon komponen tertentu, parti terbabit harus berani berkorban.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak boleh menjadi penanda aras atau benchmark untuk menilai semula persaingan di kerusi-kerusi tradisi atau berkonsep status quo. Dan bagaimana parti-parti komponen BN untuk kembali duduk semeja dan berani buat keputusan.

Ini kerana kawasan Parlimen Bandar Tun Razak mempunyai pengundi terbesar di Wilayah Persekutuan iaitu 96,000 orang terutama 52,000 pengundi Melayu. Kawasan itu yang menempatkan 23,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat dan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut memiliki ahli UMNO terbanyak dalam Wilayah Persekutuan - 19,000 orang.

Difahamkan, Pakatan Harapan dikepalai DAP akan meletakkan calon PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar di Bandar Tun Razak manakala Pas diuar-uarkan mencalonkan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pusat, Dr. Rosni Adam.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam bagaimanapun percaya MCA boleh menyelesaikan kedudukan kerusi tradisi itu secara rasional.

“Saya juga bersetuju dengan saranan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa untuk BN menang termasuklah mengembalikan majoriti dua majoriti, kerusi-kerusi tradisi ini harus dinilai semula persaingannya,” kata beliau.