Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah yang bersidang bersama Datuk Umi Kalthum Abd. Majid dan Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian selepas berpuas hati rayuan beliau tiada merit.

Mahkamah turut membatalkan rayuan balas keempat-empat responden termasuk Peguam Negara, Tommy Thomas; bekas hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V. C. George, dan bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong selepas rayuan itu ditarik balik.

Muhammad Shafee memfailkan saman itu kerana mendakwa bahawa Tommy yang disokong oleh George telah menyiarkan dan memfailkan usul untuk dibincangkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan pada 14 Mac 2015 berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar yang didengar di Mahkamah Persekutuan.

Peguam itu berkata Majlis Peguam dan Christopher telah menyiarkan usul dalam laman web Badan Peguam Malaysia bertajuk `Agenda dan Usul bagi Mesyuarat Agung Tahunan ke-69 Badan Peguam Malaysia' yang boleh diakses oleh semua anggota badan itu.

Usul itu, antara lain, menyentuh kelakuan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya yang mengadakan jerayawara (roadshow) berkaitan kes liwat Anwar.

Muhammad Shafee mendakwa bahawa berikutan penyiaran usul tersebut, defendan-defendan secara berniat jahat telah memfitnahnya untuk memusnahkan reputasi dan kerjaya beliau dalam bidang guaman. - UTUSAN ONLINE