Ujarnya, tindakan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang membatalkan kemenangannya tidak menjejaskan persiapan beliau.

Beliau berkata, sementara menunggu keputusan rayuan tersebut, beliau akan terus menjalankan kerja sebagai Penyelaras DUN berkenaan seperti biasa selain gerak kerja ke arah PRK.

"Rayuan yang dibuat oleh Mohamad tidak menjejaskan persiapan parti seperti yang telah diatur sebelum ini," katanya kepada para pemberita ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Muhibah Deepavali dan perasmian Dewan Majestic, dekat sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelmarin Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.

Streram berkata, PKR Cabang Rembau telah mengemukakan nama lima calon untuk bertanding kerusi tersebut tetapi enggan menyatakan siapa mereka.

"Isu berebut menjadi calon tidak timbul kerana amalan demokrasi adalah biasa bagi sesiapa pun untuk menawarkan diri menjadi calon," ujarnya. - UTUSAN ONLINE