MOHAMAD KHALED NORDIN
MOHAMAD KHALED NORDIN 

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dalam kenyataannya berkata, suara-suara kebimbangan yang menentang ratifikasi ini berasas dan mesti diberi perhatian serius.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau;

 

1. Kebimbangan serta suara yang menentang pelan Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi ICERD adalah tindakan yang berasas dan mesti diberikan perhatian serius.

 

2. UMNO secara jelas dan tegas menzahirkan rasa tidak bersetuju dan ingin menyarankan agar Kerajaan Malaysia membuat penelitian yang lebih terperinci dan mempertimbangkan semula keputusan ini.

 

3. Lebih-lebih lagi sekiranya didapati bahawa kesan meratifikasi ICERD akan memaksa Malaysia untuk mengubah apa-apa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, peruntukan undang-undang sedia ada atau mana-mana program rekayasa sosial yang kita jalankan selama ini.

 

4. UMNO, khususnya melalui Majlis Dasar Awam, akan terus memperhalusi perkara ini dan melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak dari semasa ke semasa untuk mendapatkan input serta kefahaman yang lebih luas berkenaan ICERD dan kesan-kesannya.

 

5. Yang pasti, UMNO menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak bertindak terburu-buru dalam perkara ini. Terlajak perahu boleh kita undur. Namun, tersalah langkah dalam menerima konvensyen antarabangsa yang tidak sesuai dengan konteks dan keperluan tempatan, pasti akan mengundang sesalan.- UTUSAN ONLINE