Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), AZRIL MOHD. AMIN yang sering menyuarakan isu-isu kemanusiaan antaranya isu penindasan terhadap etnik Rohingya sehingga ke peringkat antarabangsa mengulas mengenai isu tersebut kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI dari sudut pandangan beliau sebagai pengamal undang-undang.

UTUSAN : Antara hujah penyokong ICERD mendakwa konvensyen ini tidak melanggar

 

Perlembagaan Persekutuan dan adakah boleh ICERD diratifikasi tanpa melalui Dewan Rakyat?

AZRIL: Dalam kes ICERD, beberapa peruntukan Perlembagaan perlu dipinda bagi memastikan selari atau memenuhi kehendak ICERD. Jadi sudah tentulah proses pindaan tersebut akan memerlukan kelulusan Parlimen. Selepas kelulusan diberikan di bawah prosedur dalaman sesebuah negara, ia akan memberitahu negara-negara lain bahawa mereka bersetuju untuk terikat dengan perjanjian itu. Ini dipanggil ratifikasi. Perjanjian itu akan secara rasmi mengikat kerajaan.

Selain itu, ada menteri memberi jaminan bahawa Perkara 153 Perlembagaan tidak akan dimansuhkan jika ICERD diratifikasi, adakah benar?

Perkara ini berkaitan Fasal 4 dalam ICERD. Pada hemat saya, diskriminasi seperti terkandung dalam Perkara 153 dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam Fasal 4 ini. Namun, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana peruntukan tersebut tidak mempunyai had masa.

Perkara 153 tidak menyebut yang peruntukan itu tidak akan lagi diteruskan setelah tujuannya dicapai. Selain itu, jika ICERD diratifikasikan, pihak yang mahu menghapuskan Perkara 153 akan berhujah tujuan Perkara 153 telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berkuat kuasa.

Boleh terangkan mengenai prinsip pacta sunt servanda yang perlu difahami semua pihak sebelum meratifikasi ICERD?

Amalan negara-negara selama berabad mengiktiraf kepentingan asas pacta sunt servanda sebagai prinsip atau peraturan undang-undang antarabangsa. Unsur ke­yakinan prinsip ini menunjukkan negara harus mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mematuhi objek dan tujuan perjanjian tersebut. Negara-negara tidak boleh menggunakan sekatan yang dikenakan undang-undang domestik sebagai alasan tidak mematuhi kewajipan perjanjian mereka dengan syarat instrumen tersebut telah disahkan pihak berkuasa yang kompeten dan sesuai dengan keperluan Perlembagaan dan undang-undang. Jadi jika Malaysia telah meratifikasi ICERD, alasan sekatan undang-undang domestik tidak boleh digunakan untuk tidak memenuhi obligasinya di bawah ICERD.

Adakah ratifikasi ICERD ini boleh dibuat tanpa mengambil pandangan Majlis Raja-raja Melayu?

Pada hemat saya, oleh kerana ratifikasi ICERD akan memberi kesan langsung terhadap Perkara 153 (1), 89 dan 8 (4) (f), maka rujukan kepada Majlis Raja-raja hendaklah dilakukan sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Dalam waktu ini yang mana ramai rakyat menentang ICERD, adakah kerajaan perlu juga me­ratifikasi ICERD?

Tentangan yang jelas daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada daripada sarjana dan pengamal undang-undang, bekas hakim, pemimpin politik dan organisasi masyarakat sivil me­nunjukkan bahawa mereka mempunyai kegusaran yang wajar dipertimbangkan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.