Khairy Jamaluddin

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ICERD telah menyatakan bahawa mana-mana pihak yang menandatangani dan ratifikasi, boleh menggunakan dasar diskriminasi positif itu untuk menjamin hak sama rata dan kebebasan.

Malah katanya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kedudukan istimewa diberikan kepada bumiputera.

“ICERD tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak selaras de­ngan Perlembagaan Per­sekutuan. Ada se­bab kenapa Wisma Putra selama ini tidak meratifikasikan konvensyen-konvensyen seperti ini.

“Untuk konven­syen lain, saya rasa ti­dak ada masalah, tetapi ini (ICERD) antara konvensyen yang kita tidak ratifikasi selama ini dengan alasan yang baik. Sebab ia ada masalah apabila hendak diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dalam sidang Dewan Rakyat di sini semalam.

Dalam perhimpunan bulan­ la­lu itu, Dr. Mahathir telah mengesahkan bahawa Malaysia akan melaksanakan ratifikasi enam konven­syen PBB mengenai hak asasi kerana daripada keseluruhan sem­bilan konvensyen PBB, Malaysia telah menyertai kesemua­nya tetapi yang enam konvensyen tersebut belum dimuktamadkan amalannya.

Tambah Khairy, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah berhu­bung sebahagian besar konven­syen yang diratifikasi, namun bukan yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan seperti ICERD.

Katanya, Artikel 2 ICERD jelas menyatakan bahawa kedudukan istimewa yang diberikan kepada satu kumpulan etnik tertentu mempunyai tempoh atau had bagi memberi peluang penggunaan dasar diskriminasi positif iaitu hak sama rata kepada kaum-kaum lain.