Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, jika benar dakwaan tersebut merupakan isu lama kesahihan laporan portal Sarawak Report perlu dipersoalkan.

“DAP Sarawak sebelum ini bersuara mengenai kekayaan bekas Ketua Menteri mereka dan beberapa kali memberitahu beliau adalah salah seorang individu yang paling korup di Malaysia.

“Adakah kini DAP secara senyap-senyap mengaku bahawa mereka memfitnah kerajaan sebelumnya dengan sekali lagi berdiam dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebelum ini DAP menggesa rakyat membuat aduan namun kini setelah berkuasa mereka tidak mengambil sebarang tindakan.

“Mereka sepatutnya membuktikan komitmen untuk menamatkan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong memberitahu, Peguam Negara, Tommy Thomas telah mengkaji kes Abdul Taib dan memutuskan tiada sebarang pendakwaan.

Katanya, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bruno Manser Fund dan portal Sarawak Report namun isi kandungan maklumat tersebut sama seperti siasatan yang dibuka sebelum ini. - UTUSAN ONLINE