Pentingnya kerusi itu kerana akan ditandingi Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini dilihat pencetus kepada kebangkitan parti itu dan Barisan Nasional (BN) selepas tewas dalam PRU-14.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga berperanan menyatukan hati pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO untuk bergerak di atas satu landasan demi kepentingan agama dan bangsa.

BN memenangi dua PRK sejak Mohamad memimpin iaitu di kerusi Parlimen Ca­meron Highlands dan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Semenyih. Pemerhati politik melihat dua kemenangan itu sebagai isyarat bermulanya penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang gagal memuaskan hati rakyat dan menunaikan janji selepas kira-kira 10 bulan membentuk kerajaan.

Tidak hairanlah PH benar-benar mahu Mohamad rebah di Rantau kerana PRK ini mempunyai implikasi politik besar kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Tewaskan Mohamad bermakna berjaya melemahkan momentum kebangkitan pembangkang yang kini dilihat mula diterima rakyat.

Walau bagaimanapun, jika Mohamad menang, BN bakal mendapat satu lagi suntikan semangat dan lonjakan lebih besar bahawa rakyat kini kembali kepada mereka dan sete­rusnya bakal mengancam PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Cabaran utama PH adalah meyakinkan ahlinya sendiri untuk menyokong calon PKR, Dr. S. Streram yang dilihat pilihan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sudah ramai ahli PKR termasuk pejuang reformasi secara terbuka menolak Dr. Streram kerana mahukan anak tempatan. Sebaliknya Anwar menolak sentimen setempat yang dijangka menyebabkan boikot oleh ahli PKR sendiri.

Berbanding semasa PRU-14, PKR juga perlu mengakui hakikat bahawa kemungkinan besar sentimen rakyat yang menyokong mereka sudah berubah ekoran situasi semasa dan prestasi kurang memuaskan kerajaan PH.

Kedudukan semasa di Rantau ketika ini ialah ‘seri’, Mohamad 1 dan Streram 1. Mohamad menang tanpa bertanding semasa PRU-14 manakala Streram menang di mahkamah dalam tuntutannya membatalkan keputusan tersebut pada 18 Februari lalu.

Kali ini mereka akan benar-benar berdepan satu sama lain dan terpulang kepada kebijaksanaan 20,926 pengundi DUN Rantau menentukan pemenangnya pada 13 April nanti.