Beliau berkata, sepanjang kempen PRK tersebut jentera Pas bergerak mengikut gerak kerja yang diatur oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya rasa kerjasama kita semakin hari semakin kuat, malah Pas tidak ada jentera sendiri semasa PRK ini.

“Kita bergabung terus dengan UMNO dengan melaksanakan apa yang telah dirancang bagi memenangkan Mohamad.

“PRK Rantau ini adalah kertas uji bagi mengukur tahap kerjasama antara Pas dan UMNO di bawah agenda perpaduan ummah,” katanya ketika ditemui di pusat penjumlahan rasmi PRK DUN Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan menang dengan majoriti 4,510 undi mengatasi calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram dan dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pelan strategik dan syarat-syarat kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas akan dibincangkan dalam mesyuarat kedua-dua parti yang dijadual pada 17 April ini sebelum ia dimuktamadkan.

Beliau memberitahu, Pas sudah mempunyai hubungan rasmi yang baik dengan MIC dan akan mengatur pertemuan antara MCA dengan kerajaan Pas Terengganu dan Kelantan dalam masa terdekat.

Katanya, pertemuan itu bagi membolehkan MCA memahami dasar dan pendekatan Pas sekali gus mewujudkan persefahaman yang akan menguntungkan kedua-dua pihak. - UTUSAN ONLINE